Random Posts

header ads
header ads

100Km Dan Kayuhan Bantai BES H.Selangor


Kalau pada 17 mac yang lepas, geng-geng pedalPusher sama-sama berkumpul dan berkayuh meraikan majlis perkahwinan rakan basikal di Ampang Selangor ( ceritanya disini ), seminggu selepas itu, geng Pedalpusher sekali lagi berkumpul untuk sama-sama berkayuh bawah terik matahari dalam program kayuhan "bantai" BES Hulu Selangor di Pekan Kuala Kubu Bahru.

Pelik cikit nama program nei, kenapa dinamakan kayuhan "Bantai", kalau korang nak tau, korang kene baca cerita ini cerita yang "grenti" super panjang.

Sebenarnya susah jugak nak gabungkan 2 cerita dalam satu artikel, kebetulan pada 24 Mac itu, secara tak sengaja, sejarah tercipta bagi 2 orang member Pedalpusher, inilah cerita bagaimana kemahuan akan atasi halangan.


Bab 1- Melepasi Sempadan Itu


Aku sendiri dan sorang lagi member Pedalpusher yang baru berusia 16 tahun sama-sama lakukan kayuhan lebih 100KM hari tu, mungkin kalau basikal jenis "roadbike" jarak tu tak lah jauh mana, kalau member-member otai, itu cuma "small piece of cake pisang je" tapi bagi sebuah MTB yang ditunggang langgangkan oleh kaki kayuh amatur, itu sudah boleh buat alignment jalan tak betul keesokkan harinya, terkengkang-kengkang macam orang kene sembelit.


Faisal 29er, budak yang ketagih kayuh, bukan main excited bila aku ajak join program kayuhan dekat Kuala Kubu tu, kali ni sengaja aku ajak dia kayuh jauh-jauh, punya tak mampu kawal excited pukul 5.00 pagi dia dok sibuk call, padahal aku pukul 3.30 pagi baru tutup lampu dan cuba nak tido, sebab budak ni degil dan hyper aktif macam budak-budak sekolah lain, terencat terus tido aku.

Lepas siap secara pantas, dan makan meggie super "hot" 3-4 suap sebagai pengalas perut, aku dan Faisal mulakan kayuhan dalam keadaan gelap dengan berbekalkan cahaya dari lampu basikal yang tak berapa layak dipanggil lampu. aku rasa cuak, awal-awal mental dah nak menyerah, rasa nak patah balik pun ada, dalam hati bisikan-bisikan pematah semangat tak henti-henti menjerit.

Kayuh dalam gelap bukan satu tindakan bijak, risikonya terlalu besar, mungkin ada lubang besar, ada bonggol atau kereta kebal berhenti rehat tepi jalan, atau mungkin  jugak perompak yang sedang perhatikan gerak geri kami, dan yang paling tak boleh dibayangkan kalau terlanggar anjing tengah tidur tepi jalan, satu hal lagi nak kayuh laju-laju lari dari anjing tu dalam keadaan gelap gelita. itu semua cari bala namanya.

Sebab itu selepas sampai di hadapan stesyen KTM Serendah aku ambil keputusan berhenti dan tunggu suasana cerah sikit, Faisal yang banyak soal aku suruh diam,aku lantik diri sendiri jadi kapten hari tu dan faisal aku lantik sebagai prebet, sebagai prebet dia tak boleh banyak soal dan kene tahan maki, kebetulan aku tak berapa ada mood nak jawab soalan-soalan tak masuk akal dia.

"kenapa kita kene berhenti bang?" soalan paling aku tak suka jawab... nun jauh di depan tu
 cuma ada lorong yang terlalu gelap untuk kami tempuh, kebiasaannya orang normal sudah tahu jawapan kenapa aku suruh berhenti. aku sebenarnya agak hairan  kenapa tiang lampu dipasang dengan meriahnya di sekelompok kawasan, sementara kawasan lain hampir 1KM tak ada sebatang tiang lampu pun, Ohhh rupanya jalanraya di negara ni memang dibuat tak mesra basikal, perancang bandar memikirkan basikal juga mempunyai lampu se'terang" kereta.

"Entah-entah kejap lagi ada kereta berhenti tumpangkan kita pegi KKB" sekali lagi prebet aku bersuara, sakitnya hati bila dia cakap macam tu, tahap khayalan nya super tinggi.

Jadi pagi tu aku ajar dia jangan berharap kepada keajaiban, apa yang kita mahu perlu kita usaha sendiri. lantas aku terus keluarkan handphone dan bukak radio dengan harapan dia tak tanya soalan yang bukan-bukan, prebet tak seharusnya bercakap bila kapten tak tanya apa-apa, sangkaan aku meleset, budak sekolah ini suka bertanyakan soalan yang aku malas fikirkan jawapannya.


Agak mula rasa dah boleh sambung kayuhan lepas berhenti hampir 45 minit yang dibuang sia-sia tepi jalan yang tak ada gerai minum, kami teruskan perjalanan, nun jauh dihadapan ada satu lubang agak besar menanti, nasib baiklah berhenti kejap dan tunggu si matahari keluarkan cikit cahayanya, selainnya keadaan semua ok, tapi dalam keadaan masih agak gelap itu, aku sangat takut terjumpa musuh ketat zaman berzaman... kawanan anjing liar yang suka menakutkan aku.

Kayuhan kami makin jauh, walaupun semakin melelahkan, tapi tahap keyakinan mulai tinggi, cahaya matahari yang menyinari alam buat kami makin selesa berkayuh, tak perlu lagi risau pasal keadaan jalan yang serba gelap, jam 7.05 pagi sampailah kami di simpang Batang kali / Kuala Kubu, jadi disini harus berhenti sebentar lepaskan lelah jika tak mahu pengsan ditengah jalan, selepas garis ini, buat pertama kalinya aku dan mungkin juga Faisal berkayuh melepasi sempadan itu, sempadan paling utara aku pernah berkayuh jauh dari rumah.

Gara-gara berhenti santai ditepi jalan awal pagi tadi terlalu lama, jadual perjalanan jadi tertunda, kalau ikutkan perkiraan aku, kami mesti sampai tidak lewat di pekan Kuala Kubu pada jam 8.15 pagi, itu harus, walaupun sudah dikira lambat, tapi itulah sasaran masa yang dapat aku fikirkan, seorang kapten yang melantik diri sendiri pagi itu harus tunjukkan dia tak lemah semangat, maka aku ajak Faisal teruskan perjalanan, dia nampak blur, sebenarnya aku pun sama.

Aku sangkakan perjalanan sudah tak panjang, rupanya "route" yang ditunjukkan oleh google map tak sama dengan keadaan sebenar, dalam google map jalannya nampak mudah, tapi bila atas jalan terasa jauh sekali, terpaksa naik turun bukit, malah dalam keadaan itu kayuhan atas jalan landai pun terasa amat berat ( al-maklumlah basikal aku memang jenis berat ), air dalam botol sudah 3/4 habis, sampai di simpang Ampang Pecah, kayuhan kami berbaki lagi 8KM, namun jam 7.44 pagi, semua sengsara itu agak terubat sikit bila sampai di penanda jalan yang menunjukkan cuma 1KM berbaki untuk kami sampai ke pekan Kuala Kubu.



Sekarang kami sudah boleh tersenyum, aku telah berkayuh dari Sungai Choh ke Pekan Kuala Kubu, dalam mimpi pun tak pernah sebelum ni, sampai disana aku terus arahkan prebet yang aku lantik sendiri pegi beli sebotol air 100plus, itu wajib supaya kami tidak mati kekeringan sebentar lagi, sementara itu aku cari-cari geng Pedalpusher yang lain, maka terjumpalah Sahak dan anak nya Kimi yang selalu tersenyum.

Selepas pendaftaran aku kembali bersama Sahak dan Kimi, sedang prebet aku setia mengekor kemana sahaja kami bertemu pula dengan bro Rosdi, tak lama kemudian geng Pedalpusher dari UIA pun sampai bersama 3 Roadbike dan satu MTB 29er, nampaknya mereka dah semangat sangat, sambil berbual kami nantikan kayuhan rasmi BES pagi tu.

Bab 2 - Kayuhan Santai Jadi Kayuhan Bantai

Terus terang, kayuhan ini memang tak best, kurang pasti kenapa jadi tak best, jadi sebab tak bestnya kayuhan ni tak payah la cerita panjang-panjang, semua yang akan diceritakan  semuanya serba tak best, hambar tiada rasa.

Selang tak lama lepas geng Pedalpusher dari UIA sampai, kami semua diminta berkumpul, terus terang sebenarnya lelah belum berapa nak hilang, kaki masih keras dan sakit, tambah sakit hati bila briefing pagi itu jadi macam tempat lepas perasaan oleh pegawai trafik bertugas, mungkin dia tak cukup tidur malam sebelum tu dan terpaksa bangun awal  pagi untuk pastikan keselamatan sentiasa dipatuhi, jadi kami dikelompok belakang ni tak kira tua muda pun membebel sesama sendiri menyatakan betapa jemunya mendengar bebelan pegawai bertugas tersebut. sori tapi ini kenyataan.

Pagi itu kami seramai 200 orang kurang lebih pun berkayuhlah menyelusuri pekan Kuala Kubu yang tenang dan unik tu, lagaknya seperti perlumbaan le Tour de Langkawi baru dilepaskan, sampai ke simpang Fraser Hill dan Ampang Pecah, kami ke kanan, aku sudah mula pelik, kenapa ke kanan bukan ke kiri?.

Informasi pertama yang aku terima, kononnya kayuhan ini akan ke Sungai Chiling sebelum berpatah balik ke pekan Kuala Kubu, tapi informasi itu salah, atau penganjur sengaja sudah tukar laluan saat akhir untuk mem"bantai" kami?

Kalau ke Sungai Chiling, pemandangannya indah, walaupun mendaki bukit pemandangan mendamaikan akan buat keletihan tak berapa terasa,  beberapa kilometer sebelum sampai ke Sungai Chiling ada pokok kiri kanan, panas tak terasa kerana cuaca akan redup, jadi tidaklah kami terpaksa berkayuh sampai terjelir-jelir lidah kepanas dah kehausan.malah bila sampai ke Sungai Chiling, mana-mana rider yang sudah tidak tahan keletihan boleh terjun dalam sungai,  segarkan diri dengan berendam lama dalam sungai, itu pada fikiran aku. tapi semua salah, kami ke destinasi lain.

Destinasi kami sebenarnya ke Bukit Beruntung, memang tak berapa beruntung la kalau destinasi ke sana. tak berapa lawa pemandangan yang ada, dan sudah pasti tak ada sungai untuk kami terjun sejukkan diri, yang ada satu jalan panjang yang gerenti super hangat naik turun bukit. 


Melalui jalan Ampang pecah kami seterusnya berkayuh ke Persiaran Zuhrah, kemudiannya kami berhenti di check point pertama untuk berebut sebotol air dan sebiji pisang, buat masa ini kami group Pedalpusher masih lagi ok, walaupun kenderaan marshall agak laju, kami masih mampu berada dikelompok tengah.

Namun adengan berikutnya tak berapa nak best, disinilah kayuhan "santai" telah bertukar menjadi kayuhan "bantai".

Kami teruskan perjalanan, nun dihadapan segala gunung ganang yang bukan calang-calang curamnya terpaksa kami daki, segolongan penunggang yang duduk dibelakang kereta marshall mula agresif, mereka berkayuh semakin laju, kerana diasak penunggang basikal yang masing-masing pasang impian jadi pelumba, marshall jadi pun semakin laju, akibatnya ramai penunggang lain yang tertinggal di belakang, kebanyakkannya yang lanjut usia, termasuk aku, ( maaflah kami sangkakan ini kayuhan"santai" tapi tak sangka pula kami sedang join pelumba kebangsaan berlatih ).

Kadang-kadang dalam hal begini marshall kene lebih faham, ada golongan tak berapa nak muda join kayuhan ini, ada yang amatur dan mungkin baru pertama kali join, malah bukan semua pakai road bike super ringan, ramai juga pakai mountain bike super berat, malah ada seorang OKU turut serta dalam kayuhan ini.

Jadi tak berapa adillah layan kami semua macam pelumba basikal kebangsaan yang tunggang basikal super ringan dan mahal, 



Akhirnya entah lepas berapa bukit dan berapa kilometer sumpah seranah dalam hati sampailah kami dekat check point 2, kali ini semua boleh jadi pak nujum, tengok je muka rider lain dah tahu apa diorang rasakan, muka semua layu, kepenatan join kayuhan bantai ni, selepas lagi sebotol air dan 3-4 biji pisang ditelan baru boleh gelak dan senyum cikit.

Tak sampai pun 10 minit rehat, marshall dah tiup-tipu wisel, itu beri kejutan mental kepada penunggang yang baru sampai, pelik sungguh kenapa marshall macam nak cepat habiskan kayuhan hari tu, rasa kesian pada orang-orang tua yang tak sempat nak hilangkan lelah, sekali lagi diingatkan ini bukan kayuhan santai, kayuhan "bantai" ini selayaknya begitu.

Maka dengan perasaan mula menyampah kami pun berkayuh balik semula ke Kuala Kubu, seperti awal tadi jalan sama yang dilalui disajikan dengan gunung ganang yang buat kita fikir alangkah baiknya jika basikal dipasang dengan enjin petrol, tak perlu kayuh seperti orang gila dikejar anjing masa naik bukit, alangkah elok jika pulas saja trottle dan kekuatan enjin mengantikan kuasa kaki yang semakin lama semakin tak kuat.

Kayuh punya kayuh yang macam lusa baru habis, akhirnya sampai juga ke check point 3, lagi sekali pisang dan sebotol air jadi mangsa, bayangkan betapa teruknya kayuhan ni sampai setiap kali check point, perlu ambil air untuk ganti air yang keluar jadi peluh, dalam cuaca panas terik pagi tu, kurang air dalam badan boleh buat kita pitam serta merta.

Kali ini kemarahan aku tak terbendung lagi, jarang sekali aku rasa marah begini, bayangkan bila saja group paling belakang sampai terus marshall tiup wisel lagi nak suruh jalan, tak semena-mena keluar terus dari mulut aku "sabar la woi, yang belakang tu baru sampai, bagi rehat kejap", hah ambik kau, kan dah terlepas "sound" dah, mana taknya, marshall naik motor, tak rasa penat pun, pakcik tua yang baru sampai tu nafas belum betul kau dah suruh jalan. (sebenarnya aku la yang baru sampai tu)

Sabar cikit bang, faham nak habiskan tugas cepat, tapi kene faham juga orang lain, kang sorang dua jatuh pengsan kang dah jadi cerita lain pulak dah.

Takmo panjangkan cerita yang dah sangat panjang nei , kami pun berkayuh baliklah ke pekan Kuala Kubu, walaupun banyak adengan-adengan best dipenghujung kayuhan nei, malas sudah nak cerita, jadi kami kayuh punya kayuh punya kayuh dah sampai ke stadium, ingatkan ending disana, tapi marshall suruh kayuh lagi dalam 3-4 KM kalau tak silap, menghala ke dataran Kuala Kubu untuk makan tengah hari dan cabutan bertuah. makan tengah hari super awal hari itu dimeriahkan lagi dengan 2 cabutan bertuah yang geng Pedalpusher dapat, 1 pump basikal dan satu lagi stand basikal, ok la tu dari tak ada apa pun.
So dengan pantasnya tamat kisah kayuhan "bantai" BES Hulu Selangor, walaupun macam tergesa-gesa kita ucap terima kasih kepada marshall yang bertugas, tapi nanti....cerita belum berakhir, kisah sama ada impian akan tinggal impian atau impian akan jadi kenyataan .

Bab 3 - Perjalanan Masih Jauh


Kebanyakkan rakan-rakan rider suma sudah bersurai, maka tinggal kami geng Pedalpusher dan beberapa orang rakan lain di dataran Kuala Kubu, aku dan faisal yang datang berbasikal jauh dari rumah dipelawa tumpang balik naik kereta, tapi mentah-mentah aku tolak walaupun Faisal si prebet amat berharap kami balik dengan kereta, riak air mata mahu menitis kelihatan diwajahnya.

Setakat ini, sudah lebih kurang 78KM kami berdua kayuh hari itu, cuma tinggal lebih kurang 22 KM lagi untuk kami genapkan 100KM, satu impian pecah barrier bagi budak-budak amatur macam kami. terima pelawaan balik cara mudah memusnahkan impian itu, yang pasti tidak selalu akan hadir, tak mudah kami terima godaan yang akan memusnahkan impian.

Masih lagi "small piece of cake" bagi rider otai, dan sudah pasti bagi penunggang basikal road, angka 100KM itu terlalu kecil, tapi bagi kami ianya besar, sempadan angka itu itu harus dipecahkan.dalam satu siri kayuhan yang menggila, dalam keadaan sebenarnya tenaga sudah tak ada. 

Maka kami berdua mulakan kayuhan dari dataran Kuala Kubu, kali ini kami putuskan lalu jalan luar terus ke batang kali, dalam perjalanan kami lalu gerai cendol, ramai rupanya rider-rider berhenti "pekena" cendol barang semangkuk dua tiga mangkuk disitu, hajat hati nak hilangkan dahaga juga, tapi cuaca mula mendung, ritma kayuh haus kami percepatkan, takut jika hujan nanti, kami terpaksa lama tersadai di bawah jejantas atau pondok bas, atau jika nasib agak baik dapat tersadai di warung kopi., pekan Batang Kali masih jauh lagi, jujurnya dalam kepala sudah teringat enaknya dapat baring atas katil sendiri.Faisal si prebet yang aku sendiri lantik kali ini sudah tidak banyak bunyi, sudah pandai hormat pada kapten nya, dan sudah tentulah aku sendiri yang lantik diri sendiri jadi kapten dalam ride gila kali nei, tiap kali aku suruh berhenti pasti dia akan berhenti, bila disuruh jalan dia akan jalan, sebab kali ini dia akur dan tak banyak bunyi, Faisal aku naikkan pangkat, masih lagi berpangkat prebet, tak lebih dan tak kurang, dah tentu aku ada kuasa untuk naikkan dan turunkan pangkat dia sesuka hati aku, jadi selamanya aku akan beri pangkat prebet itu kepadanya.

Kayuh punya kayuh punya kayuh tak tau berapa lama, akhirnya sampai ke Batang kali, kali ini kami rehat sebentar di pondok bas, sengaja aku ingatkan dengan tujuan menakut-nakutkan si Faisal prebet yang baru naik pangkat tu bahawa jarak perjalanan kami sangat jauh lagi, kata aku, "kita mungkin sampai senja nanti", seperti budak sekolah yang sudah kepenatan dan kelaparan dia menganguk-angguk tanda percaya dengan apa yang aku katakan, rupanya susah juga kalau terus-terusan percaya dengan apa yang aku kata, kesian pulak.

Kemudian kami teruskan perjalanan, langit sudah mula mendung saat itu, malangnya kami sebenarnya berkayuh ke arah langit yang sedang mendung itu, bila-bila masa sahaja awan gelap itu akan memuntahkan isinya, tak mungkin sama sekali kami dapat menunggang balik dalam keadaan hujan lebat, itu risiko yang sangat-sangat perlu dielakkan.Sampai di Batu 30 Batang Kali, betul-betul di pertengahan perjalanan kami, kereta dari arah hadapan sudah mula memasang viper, itu tandanya langit sudah memuntahkan isinya, cuba cari tempat berteduh, kami awalnya cuba berteduh di sebuah pasaraya lama yang sudah ditinggalkan dengan sedikit harapan, jika hujan terlalu lebat kami dapat cuba tidur sebentar, tapi keadaan sangat teruk dan kotor, mana mungkin kami mahu berbaring atas permukan berdebu dan kotor, jadi kami cuba cari lokasi lain, sebuah kedai mamak jadi sasaran.

Duduk dikedai mamak hilangkan dahaga,  hujan mula rintik-rintik, namun tak lama, lalu hujan berhenti, tapi tak apalah, dari sambung kayuhan kami terus berehat dulu, jarak perjalanan pun sudah tak berapa panjang, mungkin cuma berbaki 15KM sebelum dapat merasa enaknya baring atas tilam empuk, Faisal si prebet masih tidak banyak berbunyi, dia sudah akur dengan perintah sekarang, atau mungkin dia sudah tersedar yang dia sedang saja buat kerja gila. kesian budak sorang nei, dari raut wajah, dia sudah sangat keletihan, aku pun sama, tapi masih cikit lagi untuk capai apa yang aku idamkan

Setelah agak lama duduk, perasaan malas mula timbul meluap-luap, kalau makin lama duduk alamatnya entah bila mahu sambung kayuhan, kami selepas itu teruskan perjalanan, namun tak lama musuh ketat ku telah menunggu di tepi jalan, 2 ekor anjing liar duduk betul-betul tepi jalan yang kami mahu lalu, ini masalah besar, macam mana nak lalu dengan selamat nei.

Lalu aku arahkan faisal mengutip batu-batu ditepi jalan, aku pun ambik 2 ketul buat standby kalau anjing tu sakat kami, tapi bila kami lalu, 2 ekor anjing itu yang terpinga-pinga tengok apa kami mahu buat, sikit pun anjing tu tak menyalak, jauh sekali cuba terkam kami, lagaknya seperti 2 ekor kucing yang kehairanan lihat tuannya berperangai pelik, kami malu sendiri sambil terus kayuh, mungkin dibelakang kedua-dua ekor anjing coklat itu sedang gelakkan kami.

Sampai diserendah, jalan basah tanda tadi hujan lebat, kami redah juga supaya cepat sampai, namun tak lama selepas itu hujan lebat mula turun, mahu tak mahu baki kayuhan sejauh 7-8 KM itu terpaksa kami tangguh lagi, kami berhenti dibawah pondok bas bukan mahu tunggu bas, tapi tunggu hujan segera berhenti, mata makin berat dan mengantuk, perut lapar dan dalam kepala terbayang-bayang tilam bantal dan selimut.

Hujan berhenti, perjalanan diteruskan, kami singgah sebentar diserendah untuk ambil beberapa barangan yang terpaksa kami tumpangkan dengan Sahak, selesai ambil barangan itu, kami teruskan perjalanan, rasa letih dan layu segera jadi perasaan berbunga-bunga sakura di musim salju, riang ria dan mendamaikan, kami sudah hampir ke destinasi, di depan ada satu simpang, tanda kami sudah selamat sampai. malah lebih hebat 2 orang gila ini berjaya harungi perjalanan jauh hari itu, 
Kaki terasa sakit sekali, tapi hati terasa sangat puas, peluang seperti ini bukan datang selalu, kadang-kadang kita harus berusaha untuk mencapainya, kita tak akan pernah tahu apa yang mampu kita capai jika kita tak pernah mahu mencuba, kebiasaanya pertama kali itu akan sentiasa jadi yang paling sukar, dan selepas itu ia akan jadi lebih mudah kerana kita pernah mendapatnya, kerana kita yakin kita akan mampu mengulanginya.

Kisah ini sebagai satu perkongsian, betapa tiada satu pun perkara yang mustahil, jika kita bersungguh-sungguh, kayuhan ini  juga seperti perjalanan hidup didalamnya ada risiko, cabaran, dan perkara yang tidak seperti yang kita duga, berusahalah, kerana sudah pasti hasil dari usaha itu amat manis... jika kami mampu, pasti anda mampu lebih dari ini.

Ohh ya, anggaran keseluruhan kayuhan yang dibuat hari itu lebih kurang dalam 109- 110KM, dan hasilnya aku tidur entah berapa lama dan bangun dengan peha yang sakit pada esoknya..


APA KOMEN KORANG, JOM KOMEN-KOMEN DEKAT BAWAH. KLIK SINI KALAU NAK JOIN PedalPusher

Post a comment

2 Comments

  1. tahniah...sy pun ada cita-cita nak kayuh more than 100km, tapi baru belas-belas km dah kejang otot betis...

    ReplyDelete