Random Posts

header ads
header ads

Azizulhasni Tidak Terkilan Tiada Pingat.



Pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang tetap berpuas hati dengan pencapaiannya biarpun gagal meraih sebarang pingat pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di Velodrom Basikal Kompleks Sukan Indira Ghandi, kelmarin.

Selepas langkahnya tersekat pada pusingan kedua acara 200 meter pecut, pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman itu gagal melayakkan diri ke peringkat final acara keirin.

Pada saingan separuh akhir pertama, Azizulhasni berada di tempat kelima manakala seorang lagi pelumba negara, Mohamad Edrus Yunos menghuni tempat keenam.

Bagaimanapun, kegagalan Azizulhasni mara ke final dikatakan berpunca daripada tindakan pelumba Iran, Mahmoud Parash yang dilihat menolaknya pada pusingan terakhir sehingga menyebabkan dia berada dalam kelompok belakang.

Biarpun ketua jurulatih negara, John Beasley membuat bantahan ekoran insiden itu, namun komisar pertandingan tidak menerima bantahan tersebut.

"Mungkin bukan rezeki saya dan tuah juga tidak memihak kepada saya dalam acara keirin. Saya sudah memberikan kayuhan terbaik untuk menempatkan diri dalam kelompok hadapan tetapi tindakan pelumba Iran itu (Mahmoud) telah menyebabkan saya sedikit terkeluar daripada pelumba yang berada di depan saya.

"Saya cuba untuk mengejar tetapi ruang yang agak terhad menyebabkan saya sekadar mampu berada di tempat kelima," ujar Azizulhasni.

Pada saingan penentuan tempat ketujuh hingga ke-12, Azizulhasni yang hanya sebulan sempat membuat persiapan bagi menghadapi ACC kali ini tampil meneruskan kayuhan bertenaga untuk menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Mengulas mengenai prestasinya pada saingan ACC 2013, Azizulhasni berkata, dia sememangnya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk memburu kejayaan gemilang.

"Semua sedia maklum bahawa saya mengalami masalah visa untuk kembali berlatih di Melbourne, Australia sebelum ini sehingga menyebabkan saya hanya berlatih bersendirian di Malaysia hampir enam bulan.

"Bagaimanapun, saya tetap berasa gembira dan berpuas hati dengan prestasi saya pada ACC kali ini. Dalam saingan pecut ketika menentang Josiah, saya masih mampu mencatatkan masa yang baik dan tidak jauh bezanya dengan Josiah.

"Apa yang saya lihat, saya kini masih berada pada laluan yang betul untuk terus memperbaiki rentak kayuhan saya selepas Sukan Olimpik 2012 di London," jelasnya yang kembali ke Melbourne, hari ini.

Pada masa sama, Azizulhasni memuji prestasi pelumba muda negara, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis yang berjaya mengikut jejak langkahnya dengan meraih tiga pingat emas pada kejohanan berprestij di rantau Asia itu.

"Saya lihat dia (Firdaus) boleh pergi lebih jauh jika bakatnya terus diasah. Selain Firdaus, saya dapat lihat beberapa pelumba junior lain yang mempunyai potensi untuk mengikut jejak langkah yang sama.

"Ini merupakan satu perkembangan yang cukup positif dalam arena lumba basikal Malaysia kerana kita mempunyai ramai pelumba pelapis yang berbakat," katanya.
APA KOMEN KORANG, JOM KOMEN-KOMEN DEKAT BAWAH. KLIK SINI KALAU NAK JOIN PedalPusher

Post a comment

0 Comments