Random Posts

header ads
header ads

Tekas Fun Ride @Kayuhan Nasi Minyak



Ingatkan nak tulis dulu siri jelajah yang lepas-lepas, tapi memandangan ride siang tadi best, jadi kita kongsikan la dulu cerita pasal Tekas fun ride yang fun siang tadi.

Punya xcited kawan-kawan pedalpusher ni, seawal jam 7.00 pagi dah ada yang sampai dekat satay station riverside Ampang, antaranya, Bob, Omar and the "SASSIAN" geng dan yang last sekali sampai pagi tu ialah Izz dan rakan-rakan., sebenarnya sehari sebelum tu suasana dah mula hangat dalam facebook pedalpusher, semua memang dah tak sabar-sabar nak kayuh, kemaruk kata orang.

Jadi lepas kami semua bersiap dekat tempat letak kereta di satay station tu maka bergerak la kami beramai-ramai ke  Taman Rimba Ampang .

Jarak kayuhan dari tempat letak kereta tu ke Taman Rimba Ampang tu taklah jauh sangat, lebih kurang 1KM je, kira berbaloilah kayuhan tu sebab puas hirup udara pagi, maklumlah ramai antara kami terlupa nak hirup kopi O sebagai sarapan pagi tu.

Sampai di Taman Rimba Ampang, jumpa pulak Sahak dan Kimi, RJ dan anak dia pun ada. bermacam-macam kelab basikal pun ada, sayangnya kami masih tak ada jersi macam team lain, tak apalah, pasal jersi Insyallah tak lama lagi versi pertama jersi pedalpusher akan keluar.


Maka nak pendekkan cerita yang dah macam panjang nei, kami pun berlepaslah dari Taman Rimba Ampang tu, nak ceritakan balik kemana destinasi kami tuju tu bukan tak ingat, tapi tak tau nama tempat tu, yang pasti dekat Ampang la.

Jalan yang kami lalui untuk ke checkpoint pertama merangkap waterpoint tu melalui kawasan perumahan, kebanyakkan jalan mendatar dan banyak jugak jalan mendaki bukit, sampai dekat satu kawasan perumahan elit, kami daki lagi bukit, bagi orang-orang yang gian dan kemaruk, inilah tempatnya nak speeding sikit, nak keraskan kaki atau nama lainnya hilangkan penyakit kelenguhan kaki tahap 4, penyakit tahap kronik ini selalu dialami oleh rider-rider, simptom penyakit ini ialah sukar tidur malam jika siangnya ada aktiviti berbasikal.

Tapi speeding punya speeding bukit tak abis-abis, ingatkan pendakian bukit tu sekejap je, rupanya serupa laluan LTdL stage 5 dari Shah Alam ke Genting, jadi bagi yang dah tak larat sangat daki bukit tu, tindakkan menukar gear paling ringan dan kayuh laju-laju macam kartun dibuat, ini untuk menyelamatkan keadaan dan air muka, kayuh super laju macam kartun itu lebih bagus dari berhenti ambik nafas tepi jalan sambil tersengih-sengih kepada rider lain.

Walaupun dah habis tenaga tapi bukit yang kami daki masih belum habis lagi, kali ini kami disajikan pula dengan pemandangan serupa zoo, kira kanan jalan penuh dengan kera, bukan yang setakat saiz kecik-kecik je, besar macam anak beruang pun ada (macam biasa buat tambah sedap cerita), peliknya kebanyakkan kera dekat situ tak berapa teruja pun dengan kehadiran kami, tak macam kehadiran pelumba LTdL di genting tempoh hari yang disambut meriah peminat basikal. sambutan dingin kera-kera dibahu-bahu jalan itu buat ramai rider rasa kurang bersemangat.

Puas kayuh dan layan gelagat kera, kami sampai dipuncak bukit tu, disitulah checkpoint 1, kenderaan 4x4 penganjur diserbu penunggang, sebotol air mineral menjadi azimat hebat, buat refill botol air yang dah hampir kosong, kami berehat sebentar sambil disajikan gelagat kera-kera disana.

Termakan kata-kata manis Kimi dan Sahak, geng siput with pedalpusher mengambil tempat dibelakang kenderaan marshall, kata Sahak lebih selamat duduk dihadapan berbanding berkecamuk dalam kelompok besar dibelakang, jadi kami sambung peringkat kedua dengan masing-masing duduk dikelompok hadapan, destinasi kembali semula ke Satay Station Riversite Ampang melalui jalanraya utama. Laluan kali ini lebih banyak menuruni bukit sebelum lalu dilaluan landai, 

Kebenaran kata-kata Kimi dan Sahak jelas terbukti kali ini, seorang penunggang basikal telah mengalami kemalangan beberapa kilometer sebelum sampai semula checkpoint2, bunyi beliau tersungkur diatas jalan sungguh mengerikan, kata Acai yang betul-betul ada disebelah penunggang tu, kemalangan tu terjadi sebab rider tu dah hilang kosentrasi sebab lambaiaan peminat ditepi jalan. sesungguhnya jatuh diatas jalan itu terlalu menyakitkan.
Syukurlah semua geng pedalpusher selamat dalam perjalanan ke checkpoint 2 tu.


Maka nak pendekkan cerita yang dah terlalu panjang nei, ringkas kata kami dah sampai di Satay Station, tiada walau secucuk satay pun dihidangkan kerana kayuhan belum tamat lagi, hanya kenderaan marshall sekali lagi jadi tumpuan, lagi sebotol air jadi azimat. 

Stage berikutnya  ini agak istimewa, penunggang diberi 2 pilihan sama ada mahu mendaki bukit Ampang untuk melihat keindahan bandaraya Kuala Lumpur dari puncak bukit, jika sudah rasa tak larat lagi mahu berkayuh, mereka boleh skip cabaran itu, kali ini semua rider pedalpusher sahut cabaran mendaki ke bukit Ampang bersama rakan-rakan rider dari kelab-kelab lain.

Terdahulu, rakan-rakan dari pedalpusher telah tawan Fraserhill, kalau nak dibandingkan dengan cabaran ini, Fraserhill jauh lebih mencabar, tapi sangkaan itu meleset, mendaki bukit ampang yang tak berapa tinggi ini sangat mencabar kerana cuaca amat panas, ketinggian memang tak berapa jadi masalah, tetapi cuaca yang panas ini bikin badan cepat mengalah, jauh beza dengan Fraserhill yang nyaman dan dingin tu.


Apapun, kegembiraan terpancar jelas di wajah semua geng pedalpusher bila berjaya sampai ke checkpoint 3, antara kami semua dari pedalpusher Kimi jadi "rajabukit" hari ni, acai yang dari check point 1 merungut kelaparan pun tak ada masalah sangat untuk daki. hari ini acai daki bukit dengan penuh senyuman.

Sampai di puncak bukit Ampang, kami semua bergambar kenang-kenangan, semua seronok sekali kerana jurukamera tak henti-henti ambil gambar, macam -macam gaya dan posisi ada, maklumlah macam-macam jurukamera dari majalah dan surat khabar datang, bukan selalu kan dapat peluang masuk majalah.

Sekarang kayuhan yang meletihkan dah hampir tamat, penyakit kaki lenguh tahap 4 dah sembuh sepenuhnya, semua dah boleh tersenyum sebab kami selepas itu hanya tinggal berkayuh beberapa kilometer sebelum bertemu balik dengan kelompok yang "skip" cabaran panjat bukit tadi, dan selepas itu kami ke acara kemuncak untuk hari itu. 

Selain kayuhan seronok-seronok ini, kami sebenarnya hadir untuk meraikan majlis persandingan rakan rider. pengantin perempuan adalah anak kepada pengasas kelab berbasikal TEKAS.

Pasangan ini bertemu jodoh kerana hobi yang sama, mereka dikatakan mula bermain mata dan jatuh cinta dari sukan berbasikal.

Pasangan ini menantikan kami semua dibawah pokok, lebih unik, mereka berdua memakai jersi khas hari bersejarah mereka dan menunggang basikal tendem. (basikal panjang yang ada 2 tempat duduk tu la). untuk sama-sama kayuh ke dewan tempat majlis persandingan mereka berlangsung.

Acai begitu seronok dan teruja sekali, sambil mengintai-ngintai hadiah cabutan bertuah, acai tahu kelaparan kronik yang ditanggungnya akan hilang sebentar lagi, bau nasi minyak yang lazat membuat acai tersenyum gembira.

Sambil kami makan cabutan bertuah dibuat, punyalah banyak hadiah disediakan, paling seronok bukan hanya rider bertuah yang dapat hadiah, tapi paling seronok sekali ialah melihat bermacam-macam karenah kawan-kawan, kalau cabutan bertuah itu cuma botol air, maka ramai la yang berdoa supaya nombor mereka tak dipilih, kelucuan itu sebenarnya yang paling menghiburkan. 

Hari ini, meja geng pedalpusher gamat sekali, mungkin juga hari paling bertuah untuk kami semua, kimi dapat botol air, panjang dapat hamper, acai dan omar dapat basikal, rozi dapat basikal KHS, hadiah ke 2 terhebat dalam banyak hadiah-hadiah hebat tu, selain tu, ada juga kawan-kawan dalam group ni walaupun duduk meja lain hadiah jugak, anak-anak RJ dapat botol air dan seterika baju, Adrein adenan  pulak dapat toster, betul-betul rezeki la.

Memang ride hari ini seronok sangat,  kami bergembira dan gelak ketawa setelah kenyang membelasah nasi minyak sambil membolot hadiah-hadiah best, itu sungguh hebat, tapi lagi hebat bila dapat bertemu dan berkumpul sama-sama, maklumlah ada diantara geng-geng dalam pedalpusher ni tak pernah pun berjumpa sebelum nei, kalau ikut hati nak sambung lepak-lepak sembang lagi, cuma sesetengah kawan -kawan ada urusan lain dan perlu balik awal, jadi tak dapatlah kami tak dapat nak cari warung kopi duduk-duduk sambung gelak ketawa. 

Tak apalah, mungkin lain kali boleh ride lagi, apa pun terima kasih kepada penganjur yang berusaha keras menjayakan funride ni, kepada pengantin baru, Along dan Munira, kami di pedalpusher mendoakan semoga bahagia ke akhir hayat... Amin..



APA KOMEN KORANG, JOM KOMEN-KOMEN DEKAT BAWAH. KLIK SINI KALAU NAK JOIN PedalPusher

Post a comment

0 Comments