Random Posts

header ads
header ads

Kayuhan Calar Balar


Ok, kali ni taknak letak mukadimah, nak terus cerita je la, tapi macam biasa la nak ingatkan kat korang yang baca nei, cerita ni macam biasalah, perencah bagi sedap tu lebih. jadi baca boleh, nak percaya terus jangan.

lagi satu, artikel kali ni akan dicantas sana dan sini, kalau tak artikel ni akan jadi panjang macam karangan budak sekolah . tulis karangan panjang-panjang dalam kelas bahasa melayu kan membosankan, so artikel ni tak boleh panjang sangat secara prinsipnya, budak-budak sekolah sekarang bukan boleh percaya, suka copy paste artikel orang jadikan karangan

Ehhh, terbagi mukadimah pulak, anggap je la tu sebagai nasihat je. sekarang jom kita mula cerita pasal kayuhan calar balar, kenapa nama kayuhan ni pelik,  terangkan pun tak guna, kalau korang baca sampai abis pun takkan paham, lain la kalau korang berani nak join, baru abis bercalar balar kaki dan lengan, nasib baik lagi muka pun calar jugak.

Pagi ahad 12 mei 2013 matahari pun belum betul-betul bangun dari tidur , bro Zainul Effendi dah sampai, jadi sempat lah kami berdua layan dulu sepinggan nasi lemak, ( kami tak kongsi sepinggan, maksud disni makan makan pakai pinggan masing-masing ) sambil tu kami pun bersem"bangla", termasuk la isu bangla yang mengundi, al-maklum la baru habis PRU. tambahan pulak sebelah meja kami ada geng saluran 1. bukan main lagi dia bercerita pasal hak melayu.. rasis betul.

Maaflah, termasuk cikit politik, demam PRU belum habis, cuit-cuit sikit tak apa kan. tak kisah la apa ideologi pun, melayu ke india ke cina ke sama je, kita main basikal takkan nak kayuh dengan melayu je kan.

Dah puas makan kami bergerak tunggu sorang lagi geng dekat tepi jalan, macam biasa akhirnya dia sampai jugak, dari kejauhan nampak satu susuk tubuh sedang menunggang basikal, beliau dikelilingi salju dan aura cahaya, ada juga kelopak bunga turun dari langit mengiringi setiap kayuhannya, nah, sekarang Gaban yang tunggang bukan basikal Giant sudah sampai, dengan cool dan bergaya sekali gaban sampai dengan senyuman super memikat.

Kami bertiga teruskan kayuhan sampai Serendah, tunggu pulak Harizal yang kami sangka dia dah sampai dekat tempat yang kami janji, pun lambat  jugak rupanya... sambil menanti harizal Gaban  mengeluarkan sebungkus roti entah dari mana, sambil menjamu selera, gaban menjamu mata melihat gunung ganang, juga semak lalang depan tempat kami tunggu Harizal.

Harizal pun sampai dengan senyuman pagi tu, jadi bila kami sudah berempat, kami teruskan perjalanan, destinasi hari ini ke Bukit Sentosa melalui jalan hutan, sebelum ke Sungai Buaya, dalam perjalanan ke Bukit Sentosa tak banyak sangat perkara menarik, kami terjumpa beberapa ekor anjing liar dan 2 ekor harimau, betul, kami jumpa 2 ekor singa, ini bukan pembohongan, selain seekor ular yang Gaban jumpa (yang ni gaban je jumpa  kami tak nampak pun)

Jalan hutan kali ini kurang menarik, hutan sudah tak jadi hutan lagi, sekumpulan penjarah alam sekitar sedang menggondolkan bukit, kelak kita akan disajikan dengan cuaca panas melampau kerana pokok-pokok sudah ditebang, mereka namakan itu pemodenan, satu pembohongan yang nyata, pemodenan seharusnya seimbang, dimana bangunan dinaikkan dalam masa sama alam sekitar dikekalkan ekologi nya.



ELEKROMEGNETIKSTATIK

Cuaca panas sekali hari itu, tapi sebab kami tekun berkayuh akhirnya sampai jugak kami di bukit Sentosa, cumanya di sana satu kejadian pelik berlaku, ini bukan bohong, ini cerita betul ni. semasa naik bukit di Prima Sentosa, Harizal berhenti, katanya meter basikalnya tak berfungsi, bro Zainul Effendi  pun sama, meter basikal juga tak berfungsi, ditempat yang sama, jaan depan sikit aikk... 2-2  basikal tu punya meter jalan macam biasa, pelik.

Aku syak pasti bawah tanah tu ada galian super bertenaga, kuasa elektromagnetik dari benda yang aku syak batu bercahaya dalam cerita superman itu mesti buat gangguan saraf pada meter basikal diorang. ohhh, macam panjang sangat dah cerita ni,

Ringkasnya lepas kejadian tu, kami jumpa banyak bukit ,depan bukit dan lagi pun bukit, takde ke jalan yang takde bukit, takpe la, boleh buat latihan naik bukit, aku macam biasa lepaskan kemaruk, pusing punya pusing, akhirnya sampai dekat hutan, kami berhenti rehat, minum air kejap, ambik gambar.

Sebab bekalan air dah kurang, aku pulak tanya la Harizal, jauh lagi ke nak sampai ke Sungai Buaya?, aku dah mula risau, hari ini aku bawak hanya sebotol air, itu pun tak penuh, tadi niat nak beli sebotol air 100 plus buat backup, tapi terlupa pulak, 

Jawapan Harizal sedikit mengecewakan, katanya untuk sampai ke Sungai Buaya tak la jauh, dalam lingkungan 17 KM lagi jawabnya. aku terkedu, kejap lagi kalau air habis mana nak cari kedai tengah-tengah hutan tu, takkan nak minum air sungai, boleh kene wabak kencing tikus berdiri nanti, itu bahaya. tapi aku pasrah ajalah, mungkin tiba-tiba "blackout" dan ada keajaiban, sapa tahu kan. kami teruskan kayuhan.

Naik bukit, turun bukit, sesekali turun bukit laju-laju dan tarik brek belakang kuat-kuat memang rasa seronok, tayar belakang melilau-lilau hilang cengkaman, terasa macam pemain basikal bukit peringkat antara bangsa pulak. tak laju takpe, gaya mesti kene ada. Hah.. depan tu bumbung rumah, bukan jauh pun, bukan 17 KM, tapi sebenarnya 1.7 KM je pun. aku lega, next mission cari kedai jual air.

Kami berhenti di satu gerai minum depan masjid Sungai Buaya, sambil minum pagi kami cerita-cerita, apa yang kami cerita pun aku dah lupa, rasanya cerita pasal jersi club yang kami rancang nak buat. tapi tiba-tiba seorang "wak" datang, sambil menunggu bas dia duduk dekat meja kami, dan kami sempat bersembang, sambil tu kami bertanya kalau-kalau dia tahu route orang selalu masuk main basikal. dengan pantasnya dia jawab dan beri arah, dalam hati bagus "wak" ni, dia tahu jalan dan baik sekali, walupun dari gaya dan cara cakap kami percaya dia datang ke Malaysia naik tongkang, tapi cara bercerita serupa dia juga main basikal.

Tapi bila bertanyakan sudah berapa lama duduk di felda tu, jawapan yang diberikan buat kami sedikit tersentap " baru 3 bulan". huh, cerita macam sudah 3 tahun duduk sana sampai tahu semua jalan orang main basikal, bahaya ni, kalau ikut route dia bagi aku percaya kami akan sampai seremban nanti. ( sori la takde gambar, walaupun aku pegang HP dan asyik tengok HP tapi entah kenapa lupa ambik gambar "wak" tu dan gerai tu )


SANG KOBOI DAN KUDANYA.

Habis minum pagi tu... ( apesal sume benda aku nak cerita erk ) ringkaskan la... sedangkan tengok youtube pun kita boleh skip bagi forward ini kan pulak cerita ni, bukan best pun kan.

Kami dah topup air dalam botol air memasing, sekarang masa untuk balik, kami target mahu tembus di Bandar Baru Sungai Buaya. kami masuk hutan balik, kali ini kami macam pelumba basikal LE "TUA" DI LANGKAWI , siap ada makcik ambik-ambik gambar kami masa kami lalu belakang rumah dia, makcik tu siap cakap lagi "makcik ambik gambar ye" huh .. makcik ni buat kami malu je. kempes-kempes tau idung kami makcik. lain kali jangan buat lagi k. lain kali ambik video pulak, jangan lupa upload kat youtube, tulis tajuk, "remaja-remaja harapan negara".

Walaupun kami belum pernah lalu track itu, tapi dengan azimat serta perangsang dari "wak" yang kami jumpa  gerai minum tadi buat kami yakin laluan ke Bandar Sungai Buaya tidak sukar, kami sedang berada dalam hutan, mata melilau lihat bekas-bekas tinggalan laluan basikal sebelum ini, kami bersemangat yakin sekali kami telah jumpa laluan yang dicanang, kayuh dan terus kayuh akhirnya kami tiba ke satu tempat agak lapang. Harizal dengan yakin berkata "aku pernah lalu tempat ni". dah dengan sepantas kilat aku cakap, "woi, ni kan tempat kita rehat tadi" , Harizal termanggu, Gaban dan  bro Zainul Effendi  sedang menahan ketawa.

La.. kami telah sesat dan berpatah balik ke jalan awal yang kami lalu tadi.

Tapi kami takkan mungkin sia-siakan hari begitu saja tanpa mencuba, kami putuskan untuk cari juga jalan ke Bandar Sungai Buaya. kami meredah semak dan longkang, tinjau sana sini mencari jalan laksana "koboi" dan kudanya yang sesat tengah padang pasir,  kalau jurang bawah itu tak boleh kami redah, kami  akan daki lagi bukit sampai nampak jalan turun. nah jika mahukan keseronokkan, lupakan Google Map dan terus ikut saja kata hati.


ZAMAN JURASSIC VS DUNIA MODEN.

Nun dibawah ada sebatang sungai, kami tak pasti sama ada dalam atau tidak, tapi menurut perkiraan kami, kami harus juga lintas sungai tersebut, di seberang itu ada denai, kami percaya denai itulah jalan yang membawa kami pulang ke dunia moder, kami sekarang berada di dunia paling asing . ibarat satu kembara dalam cerita fiksyen, kami perlu selamatkan diri kami, dan kami tak ada pilihan selain jadi sang pengembara. Jurang depan kami terbuka luas, tak ada pilihan selain turun kebawah, nah ketika ini keberanian teruji, mau duduk atas basikal dan turun atau ambil pilihan lebih bijak dengan tolak je basikal, bagi sesetengah orang yang tak serik-serik jatuh basikal ini best, jadi semua cuba untuk jadi daredevil, termasuk la aku.

Selamat akhirnya kami turun ke bawah, kami cuba mencari jalan keluar, kiri kanan depan dan patah balik, kami berpusing-pusing, rupanya apa yang dilihat dari atas tak sama dengan keadaan sebenar, dibawah ini berselut, penuh lecak dan penuh kesan tapak kaki binatang apa entah, mungkin ini kesan tapak dinosour, kami sudah masuk ke zaman jurassic rupanya.

Memang tak ada pilihan, kami kene redah sungai untuk keseberang, kami cuba pilih jalan paling mudah untuk kami lintas, air agak dalam dan deras, Harizal beranikan diri untuk cuba kayuh, kalau berjaya kami semua kene buat perkara yang sama, kalau tak berjaya, kami akan guna cara paling mudah, bukak kasut , tolak atau angkat je basikal redah sungai.

Aku harap cara kedua akan kami gunakan, aku tak mahu terjatuh dan Hand Phone lemas dalam air, dan Alhamdullilah, Harizal gagal kayuh melintasi sungai, jadi kemungkinan aku akan jatuh dan lemas dalam air bersama hand phone dapat dielakkan, kami pilih untuk tolak basikal redah air, bukan kayuh.

Kami berempat akhirnya berjaya juga, kami pun berusaha mencari denai yang kami harap dapat bawa kami kembali ke dunia moden tadi. Gaban sebagai navigator hari itu mengambil tanggungjawab mencari jalan" Gaban bawa berita gembira, kami perlu angkat basikal dari tebing untuk naik ke denai tadi, tak jauh, hanya beberapa meter.

Beberapa meter yang menyakitkan, penuh dengan ranjau dan duri, tiada pilihan selain menjinjing basikal, takkan mungkin boleh lepas jika hanya tolak, urat-urat pokok yang berduri tersangkut sana sini, kaki luka diterjah duri, berdarah dan bercalar. Nah dari situ kami dapat nama kayuhan ini, kayuhan calar balar.


DUNIA MAKIN MODEN, HARAPAN MAKIN CERAH.

Kiri atau kanan, macam game dalam komputer kami harus bijak memilih, kalau pilih jalan yang boleh terus habiskan cerita kita jimat masa, tapi kita takkan tempuh banyak perkara menarik, kalau salah pilih jalan, kita akan terpaksa berpusing-pusing cari jalan untuk sampai ke check point seterusnya.

Sama juga lah macam kembara ni, dah jadi macam game, kiri kanan, kiri kanan, akhirnya kami pilih sebelah kiri, niat sebenar sebab nak cepat habiskan game ni, sebab sebenarnya Harizal ada janji nak pegi kenduri dengan wife dia,  bro Zainul Effendi pulak dah janji nak pasangkan cable TV baru kat rumah untuk wife dia. aku dengan gaban, ikut je, kesian la dekat diorang.

So kami mula la masuk sebelah kiri, Alhamdullilah, jalan cantik macam selalu orang lalu, tak banyak sangat dugaan dekat jalan ni kecuali beberapa bukit dan jalan berselut, aku paling teruk kene dugaan dekat laluan ni, jersi tersangkut dekat dahan dan koyakkan jersi aku yang hensem tu, sedih betul hati, huh..baru berapa kali je pakai. mau tak sedih.

Kayuh punya kayuh punya kayuh kami nampak ada 1 pondok, ini sudah bagus, kami semakin hampir dengan dunia modenisasi, lebih buat kami gembira bila kami nampak ada orang di pondok itu, muka kami berseri-seri sehingga sekali lagi nampak salju dan bunga-bunga berguguran dikeliling gaban, itu hanya dapat dilihat kalau tengok Gaban betul-betul, sekali imbas memang tak nampak.


Huh, kaget sebentar jadinya, kami sebenarnya sudah sampai ke vietnam, 2 orang manusia yang berada di dalam pondok itu rupanya orang veitnam, keadaan mereka saling tak tumpah seperti kehidupan zaman vietnam sebelum perang, mereka tinggal dalam pondok, tengah hutan dan nampak aman damai, pasangan suami dan isteri itu malah mengejutkan kerana agak fasih berbahasa melayu. 

Nampaknya kami terpaksa berpatah balik, kerana menurut mereka, kami sudah tersesat jalan, menurut mereka dihadapan sudah tak ada jalan, kami harus berpatah balik ikut jalan yang kami lalui tadi sehingga sampai satu simpang besar kemudian ikut kiri dan itulah jalan untuk pulang ke Malaysia. Huh, bunyinya macam agak jauh sekali.


BERTEMU TAMAN PERMAINAN


Kami sudah sampai simpang awal tadi, boleh tahan jauhnya berpatah balik, tadi kami pilih simpang kiri, rupanya jalan itu silap, sepatutnya  kami pilih simpang kanan, jalan yang secara mudah bawa kami balik ke dunia moden, zaman digital.

Tapi semua yang berlaku ada hikmahnya.

Kembara kami semakin menarik gara-gara tersilap jalan tadi, mungkinlah kalau kami tak sesat cerita ini berakhir hanya dengan 3 babak, babak pertama kami berkumpul dan gelak ketawa, Ha.. ha.. ha.., babak kedua aku sedaya upaya bercerita sambil meyakinkan kembara kami amat menyeronokkan sekali padahal tak ada apa yang seronok, dan babak terakhir cerita ini hanya 3 baris perkataan semata-mata mahu beritahu kami telah selamat sampai ke rumah masing -masing. itu membosankan. perjalanan yang mudah itu kosong. perjalanan yang sukar itu buat kita rasa seperti super hero dalam cerita-cerita tak masuk akal terbitan Hollywood.

Maka tak buang masa, kami superhero ini pun teruskan kayuhan, setakat jalan denai memang takde masalah, bak kata orang "hanya sekerat kek kecik je",, apalah sangat jalan denai ni kalau nak bandingkan jalan penuh duri yang kami tempuh tadi, memang takde apa la, kami sangat-sangat yakin akan menempuh jalan selembut sutera, muka masing-masing tersenyum riang, cuma malangnya makcik tadi tak ada, kalau tidak boleh lah dia ambik lagi gambar kami ( harap makcik tu upload dekat facebook ).



Kayuh punya kayuh tak sampai suku batu, perjalanan selembut sutera yang kami bayangkan sekarang sudah bertukar jadi macam laluan sutera zaman dinasti china buat urus niaga dengan orang arab, bak kata orang, air sungai yang tenang di sungai buaya jangan ingat takde buaya ( walaupun aku tak pernah jumpa buaya dekat sana ) dan jalan yang rata pulak jangan ingat tak dalam selutnya.


Lelaki dewasa, mana pernah berubah, percayalah, kerana selut yang berada depan kami buat muka-muka kami jadi berseri-seri, terutama Gaban, bukan setakat berseri-seri, kalau tengok dan benar-benar perhati, kita boleh nampak salju dan kuntum-kuntum bunga turun mengiringi senyum gaban tu, Gaban satu watak yang menceriakan suasana, bersamanya rumput akan selalu menghijau, pokok-pokok bunga akan mekar berkembang. sepanjang perjalanan gaban selalu ditemani kunang-kunang.

Empat superhero makin bersemangat kami sudah tak perlu berkata-kata lagi, keempat-empat superhero ini masing masing tersenyum, nah, hanya kami yang faham maksud senyuman itu, kami sudah jumpa taman permainan, ini masanya untuk berkubang.,kerbau-kerbau yang berada dalam lumpur sudah bangun dan duduk ketepi, mereka faham hajat kami.

"Ini yang kami cari.... ini yang kami cari" terjerit-jerit laungan tu bergema-gema, tapi dalam hati aku je, kalau kuat sangat nanti kawan-kawan lain kata aku buang tebiat pulak, lagi pun aku tak mahu menganggu mood mereka, sebenarnya aku tahu mereka pun rasa sama je, terpancar hepi di muka masing-masing macam muka budak baru curi buah mangga.

Aku pecut selaju mungkin cuba redah selut, laksana penunggang handalan aku berjaya redah, sehinggalah sampai ke hujung kawasan berselut, basikal sudah tidak mahu bergerak, cuma tayar belakang masih berpusing-pusing menyimbah air lumpur entah pada siapa, sori aku tak sengaja tapi aku suka, bukan selalu dapat buat ni, sekali sekala je.


Haizal cuba mengelat, cuba lalu dekat tepi tebing, mungkin Haizal rasakan itu jalan terbaik untuk dilalui, tapi ternyata telahan itu sering juga silap, Haizal tidak lepas dari terkandas, bro Zainul Effendi  paling steady, walaupun dia paling senior antara kami, dia lah paling cool, kekiri kekanan, kekiri kekanan cuba cari jalan, agaknya bila sudah bosan selalu sangat tersangit, dia sudah menjadi gila, lumpur diredah dengan basikal 29er nya,

Perjalanan redah lumpur itu panjang, maaflah semua ingatan saat itu sudah banyak hilang, kami bertemu satu taman permainan, dan kami masing-masing memang sudah hilang pertimbangan, bila sudah hilang pertimbangan kami jadi lupa diri, kami ingat kami kanak-kanak riang yang masih sekolah lagi, sebab itu banyak perkara sudah tak ingat nak cerita dekat sini.


Cuma aku terfikir balik, kalau saat ini ada seekor atau dua atau tiga ekor anjing liar seronok main kejar-kejar dengan kami, pasti pengalaman ini jadi makin seronok, depan kiri dan kanan lumpur, anjing ganas sedang mengejar kami, mana jalan kami nak lari...... tak apalah, simpan itu untuk kayuhan lain kali.


PINTU DUNIA MODEN

Sekurang-kurangnya sekarang kami sudah dapat petanda paling jelas untuk sampai ke dunia moden, selepas agak melampau-lampau bermain lumpur tu, kami bertemu sebuah pondok, bentuknya saling tak ubah seperti sebuah rumah kongsi, berdindingkan playwood dan atap zink (dua tanda jelas bahawa kami dunia makin moden) seorang wanita sedang duduk di pintu.

Kami berhenti sebentar bertanyakan arah, dengan lengok bahasa mirip melayu purba zaman wayang hitam putih, (walaupun lengoknya lebih mirip seperti orang seberang yang naik tongkang masuk ke negara ini ) 
 dia menerangkan arah mana harus kami tuju, kini yakinlah kami bahawa jarak kami sekarang dengan dunia moden hanya lebih kurang 50-40 tahun, itu kalau diukur rupa bentuk rumah dan bahasa wanita itu, rupanya kami sekarang di tahun lewat 50an agaknya, perjalanan merentas masa kami hari itu hebat sekali.

Berbeza dengan perjalanan awal tadi, cuaca dalam hutan ini taklah teruk sangat, bekalan air minum pun masih banyak lagi, maklumlah kami begitu teruja sekali dengan kembara ini, sampaikan terlupa mahu minum air, cuma kini kami disajikan dengan jalan tanah bercampur kelikir,



Aku yang menggunakan saddle tanpa span yang kononnya nampu menampakkan sesebuah basikal itu lebih maskulin terpaksa selalu bangun dari duduk, melompat-lompat atas basikal mengundang perasaan pelik pada kawan-kawan lain, walaupun mereka cuba buat-buat macam tak ada apa-apa, aku tahu mereka sedang gelak dalam hati melihat aku,  jelas kerusi tanpa span memang tak berapa sesuai guna dalam hutan, lain kali nak masuk hutan sila gunakan saddle biasa jenis span paling tebal. 

Ahh itu tak kisah, aku punya basikal, aku punya suka kalau taknak letak saddle pun, yang penting kami akhirnya sampai juga ke pintu dunia moden.  kami berhenti sebentar di tepi sungai, tarik nafas, ambik gambar dan baru teringat bila haus perlu minum air, selepas ini bila kami teruskan kayuhan kami akan berada kembali ke dunia moden.



LAPISAN OZON TELAH ROSAK

Telah kembali ke dunia moden, kami sekarang di atas jalan dipanggil aspal

Bagi sesetengah orang jalan hitam gelap diturap yang dipanggil aspal itu tidaklah seronok, kayuhan diatas jalan berbatu kelikir atau selut lebih seronok sebenarnya, bagi aku sendiri jalan aspal ini cukup membosankan,  kosong, dan kalau terjatuh diatasnya pasti sakitnya lebih teruk dari berguling-guling didalam semak, 

Sekurang-kurangnya aku sudah ada plan apa yang patut aku bayangkan kalau terjatuh dalam semak tepi lereng bukit. berguling2 ditepi bukit, bayangkan bukit itu penuh dengan bunga putih yang sedang mekar, lantas tiba-tiba blackout, aku sudah bertukar pakaian, ada seorang wanita comel berbaju coklat dibalik pokok, kami menyanyi dan menari dalam suasana cuaca mentari pagi yang indah sekali, ohh indahnya impian. itu pun kalau tak tercucuk dahan pokok lah.

Sejurus keluar dari Felda Sungai Buaya, kami kemudiannya menyusuri sepanjang jalan ke Bandar Baru Sungai Buaya, cuaca agak panas, maklumlah sudah tengah hari, masing-masing mungkin sudah terbayang sepinggan nasi dan air sejuk, lebih dari itu Haizal dan bro Zainul Effendi  sudah terbayang-bayang orang rumah mereka sedang menunggu mereka dengan muka mencuka. katanya kejap saja.. tapi matahari sudah mula tunduk ke barat, masih belum sampai rumah lagi.


Tak larat berkayuh, kami berhenti sebentar, tarik nafas dalam dan cuba kumpul kembali tenaga, dari Bandar Baru Sungai Buaya untuk balik ke tempat kami bermula tadi memang tidak dekat, kalau naik kereta pun rasa jauh, apa lagi tunganglanggang atas basikal, itu belum kira lagi kalau jalan kaki, mungkin esok harinya baru sampai, itu kalau merangkak.

Nak cerita semua tentang perjalanan balik, memang tak best, anggap je satu perjalanan panjang yang panas sambil naik turun bukit, panas bukan kepalang lagi, lapisan ozon telah rosak, pun begitu mereka masih tak sedar, masih nak pakai kereta berenjin turbo yang mencemar alam, kan lebih "kawan alam sekitar" kalau menunggang basikal macam kami. jadi belilah sebijik dan join je kami. kami memang suka berkawan bukan setakat dengan alam sekitar.

Ok lah, pendekkan lagi cerita yang dah macam karangan budak sekolah nei ( harap takde budak sekolah atau cikgu yang copy paste karangan ni ) kami pun sudah hampir sampai ke tempat yang dituju, last check point kami ialah sebuah kedai membasuh kenderaan, basuh basikal dan kemudian kami balik ke rumah masing-masing.

OK, dah tamat lah satu cerita yang panjang berjela dengan ending paling ringkas sekali, next time kita cerita lagi, macam biasa, baca boleh, percaya bulat-bulat jangan, tapi kalau korang nak percaya bersegi-segi, lantak korang la.



APA KOMEN KORANG, JOM KOMEN-KOMEN DEKAT BAWAH. KLIK SINI KALAU NAK JOIN PedalPusher

Post a comment

0 Comments