Random Posts

header ads
header ads

DAHON Classic Project Part 1



Betullah kata orang.. barang lama tu ibarat emas, makin susah nak dapat maka semakin tinggilah nilainya, sebab itu jugaklah agak lama aku tak tulis blog ni, biar makin lama tak tulis makin ramai nak baca.. hahaha..

Tapi yang sebenarnya aku tak punya banyak masa kebelakangan ni, nak menulis bukan senang, tulis dengan jiwa lagi berkesan dari tulis saja-saja.. baru touching.

Kene lah cari mood dulu, setelah sekian lama,  hari ni aku jumpabalik  mood tu bawah laptop aku, kebetulan pulak aku memang ada benda nak kongsi dengan korang kali ni. cerita pasal basikal... hahahah.


Interpretasi Karya 

Kita ni kadang-kadang terlalu nak barang yang best, anggun dan canggih je, kalau tengok part basikal best-best dan 'terlates'  maka bercucuran la air liur dan air mata, termimpi-mimpi dan terigau-igau kehebatan teknologi baru, kita terpesona dengan propaganda.'

Contohnyalah, dulu takde siapa pun kisah kalau kita pakai basikal 9 speed, fork minyak dan teknologi tak berapa canggih, tetapi tetiba sampai satu masa semua nak basikal hebat bermutu tinggi kaya dengan keunggulan, 

Kalau dulu pakai roda saiz 26 inci pun dah kira baik dah, tapi sebab hebat dan bijaknya propaganda 'keperdagangan' maka berebut-rebutlah kita nak upgrade, nak pakai rim saiz 27.5 atau 29 inci... malah kini dan reda keghairahan itu.. kita disajikan pulak dengan teknologi baru, 27.5+ dan 29+.... itu baru teknologi roda, belum teknologi lain... 

Kita terlupa barang lama, teknologi lama dan kesenian barang yang yang sebenarnya cukup istimewa.

Mungkin aku tersilap dengan semua kenyataan diatas, tapi aku yang sekarang dijangkiti sindrom "gilababi" pada basikal rasakan begitu, bagi aku setiap basikal ada cerita sendiri, basikal itu bagi aku bukan sekadar barang, banyak yang antik dan usang adalah interpretasi karya yang memiliki keindahan sendiri.


Barang Lama Jangan Dibuang.


Alkisah, tiba-tiba adik aku bagitau ade orang nak jual sebijik basikal lipat (aku tak paham kenapa asyik cerita basikal lipat je sekarang), katanya mamat tu nak tolak dengan harga yang sangat murah ( berapa murah tu aku takyah cakap la kan).

Lepas aku belek-belek gambar yang dikirim.. aku fikir ok jugak kalau aku angkat...  'not bad basikalnya' .. kebetulan memang sebelum ni memang agak 'selalu' jugak terupdate cerita pasal basikal lipat... rupanya dalam diam.. hati ada keinginan nak basikal jenis boleh lipat-lipat ni.


Da Bike.. aku fikir basikal tu jenama Da bike "made in China".. tak kisahlah ape jenama pun janji aku boleh kayuh dengan hepi sambil nyanyi-nyanyi di pagi hari pegi sarapan.. sebab aku terfikir nak beli sebijik lagi basikal lipat harga Rm400-500 pun aku dah tak mampu tambah lagi dalam keadaan ekonomi negara 'sangat membangun ni'... ini zaman "rakyat didahulukan".

Jadi... Da bike pun Da bike la...aku tak sedar sebetulnya terbeli sebijik basikal cukup berharga... ini bukan sebarangan basikal...ini emas yang terpendam lama.

Aku terperasan itu bila aku terlihat tulisan "DAHON" pada pedalnya, kemudian tulisan itu sekali lagi aku jumpa pada beberapa part lain basikal ni... bukak google.... dan walla.....ini adalah 'DAHON Da-Bike" satu dari basikal klasik keluaran pengeluar basikal lipat terkemuka dunia yang dimulakan oleh seorang Ahli Fizik hebat ( ceritanya disini ).



Single Speed 1990.

Sebagai pengenalan sikit, DaHon Da Bike dikatakan sebagai basikal pertama dikeluarkan syarikat ini, aku sebenarnya sedikit terkeliru dengan satu lagi model yang dipanggil DaHon Classic III @ Dahon California yang nampak lebih 'oldies'.. keliru sebenarnya mana keluaran pertama.. tapi rujukan aku menyebut 'Da Bike" mula diproduksikan sejak 1982 iaitu tahun dimana operasi syarikat itu bermula.

Kedua-duanya mengunakan kerangka "segitiga berkembar" yang terbukti kukuh, tetapi DaHon pernah mensisihkan kerangka jenis ini sebelum  mengembalikan semula kerangka jenis ini melalui basikal terbaru mereka Clinch D10.

Tetapi apa yang berbeza ialah DaHon Classic III ada palang tengah yang menyambungkan kerangka dengan handle tube... DaHon Da bike tak ada palang tengah sebaliknya ditambah dengan makanisma locking yang nyata lebih memudahkan.

DaHon sekarang memegang lebih 200 paten yang kebanyakkanya menjadi standart industri yang antaranya adalah makanisma locking tu,  basikal dengan saiz roda 16 hingga 20 inci merupakan yang paling popular dan jadi pilihan ramai, DaHon mengeluarkan basikal dengan saiz roda diantara 12inci hingga saiz 700cc (saiz roda basikal lumba).

Secara umumnya Da Bike menggunakan rim bersaiz 16 inci, crank dengan saiz 52T dengan badan jenis besi keluli keras dan berat, didatangkan dengan  3 variasi  kelajuan mengikut peredaran zaman, iaitu single speed 17T, 3 kelajuan internal hub dan 5 kelajuan external gear.

Setelah disemak melalui nombor siri,  Da Bike yang aku dapat ini adalah keluaran tahun 1990 tahun... iaitu lebih kurang 15 tahun lalu, berada masih dalam keadaan baik dengan hanya sedikit karat pada beberapa bahagian krom.


Frame Dalam Guni.

Tak mahu cerita lebih, aku merancang untuk sampaikan kisah basikal unik ni secara bersiri, cukuplah bahagian 1 ni sebagai pengenalan tentang basikal ni.

Bolehlah dikatakan agak beruntung apabila aku dapat basikal ni dengan part yang hampir lengkap.


Mula-mula dapat bahagian-bahagian basikal ini dihantar dan dimasukkan kedalam guni, hampir semua part basikal ni cukup.

Kesemua "Quick Release" ada,  selain tu aku diberikan saddle original berspring dan  brek cliper serta penutup rantai.. cuma yang tak ada adalah mudguard belakang dan panier belakang, kurang bernasib baik mudgurad depan yang diberi dah pecah dan tak lagi sesuai digunakan.

Apa yang terjadi seterusnya, apa yang perlu kita lakukan bila kita mula pegang spana, Insyallah nanti aku ceritakan dalam bahagian ke 2.


Barang Lama Sangat Istimewa.


Mungkin kita sangat rasa seronok bila beli basikal baru, tapi bagi sesetengah orang ada keterujaan tersendiri bila cuba lakukan sesuatu pada barang lama.. saat aku tulis cerita ni basikal Da Bike yang aku beli tu masih belum siap lagi pun.

Menanglah kita perlu ambil masa yang lama untuk 'restore' barang lama macam ni, mungkin betul lah kata seorang cina toukey kedai basikal, nak cari barang untuk basikal memang senang, tapi untuk sesuaikan dengan sebuah basikal lama itu kerja susah.

Nah disitulah cabaran, sama ada kita nak teruskan atau tidak.. malah lebih susah kalau kita usaha untuk restore sesuatu barang yang sudah dikira "retro" kembali ke keadaan asal sama seperti mana basikal itu mula keluar 15 tahun lepas.

Makin pudar, Da Bike ini diancam kepupusan, tak ramai yang masih simpan sampai boleh dibilang dengan jari, sebahagian orang mungkin tak ada nilainya basikal ini, tapi terpulang pada kita...bagi sesetengah orang barang lama itu sangat istimewa.... tambah pula bila dah tahu berapa sekarang nilai harganya.

Sampai jumpa lagi dalam episod akan datang....





APA KOMEN KORANG, JOM KOMEN-KOMEN DEKAT BAWAH. KLIK SINI KALAU NAK JOIN PedalPusher

Post a comment

0 Comments