Random Posts

header ads
header ads

Bikepackers Jamboree Santuary kelah D' Sungai Chilling


Kisah ini tak berapa lama dulu, masa tu beberapa minggu lepas kejadian tak sengaja poi Port Dickson naik basikal (Kilik Sini untuk baca), cuaca masih kelabu dan berjerebu teruk.

Cerita pasal jerebu dah 14 tahun isu ni tak pernah selesai, aku tak tahu ape sebenarnya peranan kerajaan.. mungkin kumpul pendapatan dari gst atau terus suka membebankan rakyat dengan beri kebenaran syarikat konsensi tekan rakyat dengan peningkatan tarif tol agaknya.

Bermula  tahun 1991, jerebu telah menjadi masalah yang meruncing di Asia Tenggara, kebakaran hutan di Indonesia yang dibakar bagi membersihkan tanah menjadi punca utama masalah ni.

Pada tahun 1997 negara-negara ASEAN bersetuju dengan Pelan Tindakan Jerebu Serantau (1997).

Pada tahun 2002, semua negara ASEAN kecuali Indonesia menandatangani Perjanjian Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ,

Pada tahun 2015 kita terus dibodohkan dengan kenyataan kononnya usaha memastikan perkara serupa tak berulang dan langkah paling proaktif menangani masalah ni telah diusahakan kerajaan negara terlibat,,,, tahun 2016 kalau berulang lagi dan kita masih percaya bahawa mereka tgh cari jalan nak selesai kan masalah ni.... mudahnya kita rumuskan kita dan menteri sama-sama bodoh.

Dengan redha rakyat negara ni dipaksa terima asap beracun dari negara serumpun (kononnya) dan dengan redha jugak pemimpin kerajaan yang dijamin rawatan kelas pertama kalau kene asma tu berharap kita redha menyedut asap beracun tu.

>>>

Berbalik cerita pasal kisah journey ni, beberapa hari sebelum kejadian, kecoh di satu group dalam laman facebook beberapa orang kaki kuat kayuh nak bermalam di Sungai Chilling.. bikepacker katanya.

Aku ni yang dah agak banyak kali jugak memanjat Fraser tak sekali pun terniat nak pegi sungai chilling yang sebenarnya tak berapa kilometer dari rumah aku.

Tapi oleh sebab dari hari ke sehari semakin ramai kaki touring sejati beri persetujuan untuk sama-sama hadir... kaki aku jadi tak tentu hala... kejap twiss kejap cha-cha kejap tanggo... jadi aku pun putuskan nak join sekali.

Lebih menarik dalam siri kali ini beberapa otai yang dari dulu aku perati je pun kata nak turut serta, sebagai newbiew baru belajar melangkah.. aku kene la jumpa mengadap diorang... kene salam.... cium tangan ambik berkat.


Memulakan perjalanan yang nyaman.

Hari tu... Sabtu 17 Oktober 2015 kira-kira jam 8.30 pagi, Aku, Ezrin dan sorang lagi kawan dia... Lutfi ( ke lufti... ke sofi ke ape nama pun tak berapa nak ingat ) dengan bangga tercongok dekat kedai nasik ayam dekat simpang Sungai Choh, sebelum memulakan perjalanan hari tu.. kami ambil keputusan makan nasik ayam dengan kenyangnya.

Masing-masing antara kami memesan nasik lebih beserta ayam lebih, dengan segelas nescafe yang aku teguk.. aku jangkakan aku tidak lapar untuk sekurang-kurangnya sampai tengahari hari yang sama.

Kira-kira jam 10.30 pagi, kira-kira 2 jam melepak tanpa tujuan kami pun memulakan perjalanan, jarak diantara Sungai Choh ke Sungai Chilling tak berapa jauh, dalam anggaran aku cuma 40 kilometer kurang lebih.

Hari itu hari yang sangat cukup bersejarah bagi Lutfi si kawan Ezrin , ini merupakan kali pertama Lutfi ikut serta touring, dari riak mukanya aku nampak "nur" ... dia sangat teruja sekali... cahaya itu nampak berwarna merah jambu... berkilau dan memancar terang.

Kami memulakan perjalanan, dengan tenang kami menyelusuri jalan utama Kuala Lumpur-Ipoh menuju ke Pekan lama Kuala Kubu Bahru yang tenang damai dan penuh dengan sejarah.



Sejarah Kuala Kubu.

Kuala Kubu terletak diantara pertemuan Sungai Rening dan Sungai Kubu, ia diibaratkan sebagai mutiara di Sungai Selangor menjelang akhir kurun ke-19, Kuala Kubu bahru kini merupakan pusat pentadbiran dalam Daerah Ulu Selangor yang ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1883.

Mengikut ceritanya, Kuala Kubu dibuka pada kurun kelapan belas oleh orang-orang Melayu, mereka merupakan perintis kepada kegiatan melombong bijih di daerah itu, banyak kegiatan perlombongan bijih dijalankan disana sehingga empangan-empangan besar dibina bagi memudahkan kerja-kerja mendulang bijih dijalankan. 



Penjajah rakus, mereka membina landasan keretapi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Kubu pada tahun 1892 bagi memudahkan pengangkutan hasil bijih timah. Menjelang tahun 1898, laluan kereta lembu telah didirikan bagi menghubungkan Kuala Lipis dan Kuala Kubu, dengan cara itu kekayaan pekan Kuala Kubu mudah dipindahkan.

Sehingga kini kesan-kesan perlombongan tersebut masih boleh dilihat disekitar "Hutan Simpan Taman Negeri" berdekatan Sungai Chilling yang tak begitu jauh Bukit Kutu dan Lata Medang yang popular dikalangan kaki panjat bukit dan pusat peranginan Bukit Fraser.

Peralatan lombong termasuk lokomotif dan gerabak kereta api yang menjadi artifak penting dalam ketamadunan negara tersadai di tengah hutan puluhan tahun lamanya.

Namun khabarnya anda
berjalan kaki selama enam hari untuk mencari artifak tersebut kerana ia terletak di sembilan lokasi berselerak dekat Gunung Rajah di atas ketinggian 1,053 meter dari aras laut

Manusia tak pernah belajar sayangkan alam sekitar,  akibat kerakusan manusia, Pada 29 Oktober 1883 banjir besar telah berlaku di Sungai Selangor. 

Ia telah menyebabkan robohnya Empangan Kuala Kubu Ialu menenggelamkan seluruh pekan Kuala Kubu (lama). Peristiwa penting ini dicatatkan dalam sejarah kerana bertolak dari peristiwa inilah lahirnya pekan Kuala Kubu Bharu yang ada sekarang. Empangan yang roboh itu panjangnya kira-kira 1.6 kilometer dan lebarnya melebihi 91.4 meter  

Pihak penjajah British terpaksa  menjalankan kerja pembinaan semula Kuala Kubu di atas tapak yang sama.
Peristiwa yang sama sekali lagi berlaku pada tahun 1926. Kali ini hujan ribut telah memecahkan empangan Kuala Kubu dan meragut ramai nyawa manusia.

Terdapat sebuah lagenda yang menarik di Kuala Kubu. Kononnya terdapat seekor buaya putih yang merupakan “penunggu” di dalam empangan Kuala Kubu. Penduduk tempatan menggelarnya  “binatang suci” pada masa itu.

Walau bagaimanapun, Pegawai Daerah Kuala Kubu iaitu Cecil Ranking tidak percaya dengan cerita tersebut. Beliau berdegil dan membunuh buaya tersebut walaupun mendapat nasihat orang ramai.

Mitos menyatakan selepas buaya putih dibunuh. Ribut petir disertai hujan lebat berlaku, air yang melimpah telah menyebabkan empangan pecah. Limpahan air dari empangan yang pecah telah menenggelamkan Kuala Kubu.

Sebanyak 33 mayat telah ditemui termasuklah mayat Cecil Ranking yang mati tergantung di atas sebatang pokok. Ada juga yang menyatakan bahawa mayat beliau telah hilang dan hanya sebatang tangannya yang berjaya ditemui.

Kubur beliau yang dibina pada awalnya  masih  memaparkan ayat “Here Lies the hand of Sir Cecil Ranking”. Ayat itu tidak dituliskan lagi selepas kubur beliau dipindahkan.

Pekan Kuala Kubu tertimbus dibawah pasir yang hanyut dari empangan tersebut, pekan lama ituyang dikatakan terletak di 'Ampang Pecah' kata orang sama bentuk dan susunan dengan pekan yang ada sekarang ( tak berapa pasti sebab masa tu aku belom lahir pun).

Selepas banjir besar tersebut yang dikatakan telah menengelamkan pekan lama Kuala Kubu, sekali lagi Usaha-usaha untuk membangunkan semula Kuala Kubu telah dibuat dan pada tahun 1931, maka lahirlah pekan Kuala Kubu Bharu Bahru yang kekal hingga ke hari ini , kata orang lagi bentuk pekan dan susun letaknya sama seperti pekan lama yang telah tenggelam lebih 20 kaki dibawah pasir.

Pekan  yang menyimpan ribuan sejarah peradaban manusia itu terletak di Daerah Utara negeri Selangor itu juga terkenal sebagai pintu masuk ke negeri Perak melalui Pekan Tanjung Malim dan Pahang melalui Bukit Fraser, ia pernah menjadi kubu pertahanan dalam perang saudara diantara Orang Besar Daerah Tuan Syed Masyor yang bergabung dengan Chong Chong  menentang Tengku Kudin dan rakannya Kapitan Yap Ah Loy pada tahun 1866 hingga 1874. 

Ia juga pernah jadi gempar apabila pada 6hb Oktober 1951,  Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney telah dibunuh berdekatan kaki bukit berdekatan Bukit Fraser.

Lewat 70-an selepas kejatuhan sektor perlombongan bijih timah  pada tahun 1970-an, Kawasan ini terus kekal menjadi pusat pentadbiran , walaupun pernah sekejap pusat pentadbiran kerajaan ini dipindahkan sementara ke pekan "Rasa".

Sehingga hari ini pekan itu sering menjadi tumpuan pelancong kerana keunikan senibinanya selain distinasinya yang sangat hampir dengan beberapa kawasan menarik seperti Bukit Kutu dan Lata Medang malah Sungai Chilling yang kini dijadikan pusat perlindungan ikan Kelah.

Penggemar sukan basikal juga sering datang ke Kuala Kubu untuk menyahut cabaran merentas jalan  diantara Pekan Kuala Kubu, Empangan Kuala Kubu hingga ke Bukit Fraser yang boleh dianggap sangat mencabar.

Ok, cukup untuk update harini, kemudian kita sambung lagi.
 




















Bikepackers Jamboree Santuary kelah D' Sungai Chilling Photo Gallery


APA KOMEN KORANG, JOM KOMEN-KOMEN DEKAT BAWAH. KLIK SINI KALAU NAK JOIN PedalPusher

Post a comment

0 Comments