Random Posts

header ads
header ads

Sukan Berbasikal Jarak Jauh AUDAX


Ketika cerita ini ditulis, beberapa rakan kita sebenarnya sedang menempuh satu perjalanan panjang, mereka sedang menyahut cabaran Audax 400 kilometer (km)

Penunggang basikal berbilang kaum, usia dan status dijadualkan akan memulakan perjalanan dari Butterworth ke Sungai Petani sebelum berpatah balik ke Butterworth melalui laluan yang telah ditetapkan dalam masa 27 jam.

Ini bukan cabaran yang mudah, sekalipun dengan berkereta, sudah pasti ia amat meletihkan.

Beberapa rakan ketika permulaan kayuhan Audax BRM 400
Sepanjang perjalanan, tiada sebarang kenderaan sokongan dibenarkan membantu mereka, cabaran ini perlu ditempuhi secara 'self support' juga rasa percaya kepada rakan-rakan.

Sepanjang perjalanan, mereka terpaksa menempuh gelap malam, hujan lebat, angin kuat dan laluan berbukit yang sudah pasti menyukarkan cabaran,

Mereka akan merasa sangat letih, lapar dan kadang kala sikit rasa putus asa. Tambahan adakalanya mereka juga terpaksa berhadapan karenah sebahagian pengguna jalanraya lain yang tidak mahu berkongsi laluan.

Selain itu, penunggang juga mungkin berdepan kecederaan atau kerosakan mekanikal yang menyebabkan cabaran ditempuhi mereka akan berakhir dengan kegagalan (alasan nak join semula).

Audax atau kayuhan jarak jauh ini sebenarnya tidak-lah mudah tetapi tidak juga membosankan. Kita akan berjumpa rakan baru, berseronok dan dapat melihat pemandangan indah-indah.

Sukan jenis ini ada pengikut sendiri, mereka sangat 'tegar' dan kuat dari segi mental dan fizikal... cukup 'antusias'


Apa tu Audax? 

Secara mudahnya Audax adalah sukan berbasikal melibatkan kayuhan jarak jauh. Ia juga dikenali sebagai 'Randonneuring'

Popular di serata dunia (dan kini di Malaysia),  cabaran sebenar Audax bermula dengan laluan meliputi jarak 200 km, masa ditetapkan untuk menghabiskan cabaran ini adalah 13.5 jam (lebih dari itu akan dianggap gagal)

Selain itu ada juga cabaran Audax 300 km (20 jam) , 400 km (27 jam) dan 600 km (40 jam).

Penunggang dikehendaki melalui beberapa 'check point'  ditetapkan, mereka yang diberikan satu 'Brevet Cards' (macam passport) semasa awal kayuhan perlu mendapatkan tanda pengesahan di tapak pemeriksaan tersebut  (untuk mengelakkan mereka menipu laluan)

Seorang penunggang yang telah menamatkan sekurang-kurangnya acara 200 km layak dipanggil 'Randonneur'.


Melihat tempat orang dengan berbasikal.
 
Kebiasaanya, mana-mana cabaran yang diadakan di-sesebuah negara akan dilaksana satu organisasi terlibat yang bekerjasama dengan badan pentadbiran antarabangsa untuk randonneuring iaitu Audax Club Parisien (A.C.P).

Di Malaysia program ini dijalankan 'Audax Randonneurs Malaysia', yang telah mengadakan beberapa acara secara aktif. Acara ini juga dijalankan di lebih 50 buah negara

Selain cabaran-cabaran dinyatakan tadi, turut diadakan adalah kayuhan jarak jauh meliputi laluan  lebih 600 km iaitu.

  • - Audax 1,000 km – 75 jam
  • - Audax 1,200 km – 90 jam (atau 80 jam / 84 jam mengikut pilihan)
  • - Audax 1,400 km – 116:40 jam (atau 105:16 jam / 93:2 jam mengikut pilihan)

Buat masa ini, (sepanjang pengetahuan) kayuhan melebihi jarak 600 km belum dijadualkan akan diadakan di Malaysia. Walau bagaimana-pun, pengemar cabaran ini boleh meneruskan cabaran  dengan menyertai acara Bangkok-Phrae-Bangkok (video) sejauh 1400km dianjurkan Audax Randonneurs Thailand.

Cambridge Audax tahun lalu
Jika anda mahu kepuasan lebih maksima (muntah hijau lebih banyak), anda mungkin berminat untuk menyertai Bali Audax Climbing 254km Challenge (anjuran Baliaudax) yang akan diadakan pada November ini atau mana-mana acara anjuran Audax Indonesia , Audax Australia dan banyak lagi.

Selain itu,  ada beberapa acara lain dijalankan kurang dari 200 km,  acara dengan jarak 50, 100, 150 km ini menyediakan laluan mudah untuk peserta yang baru berjinak-jinak , contoh acara ini adalah 'Jakarta Popular Audax 100km'

Sebenarnya, selain menyahut cabaran disediakan, penggemar acara ini dapat mengambil kesempatan melancong dan 'melihat tempat orang dengan menunggang basikal' dengan cara lebih jimat dan selamat (ini antara sebab kenapa sukan ini popular)

Walau bagaimana pun ada beberapa cabaran lain diluar negara yang diadakan melebihi jarak 1400 km yang antaranya adalah:

  • - Hamburg-Berlin-Cologne-Hamburg 1500 km (German)
  • - Ultimate Island Explorer 2000 km (Canada)
  • - Wild Atlantic Way, 2100 km (Ireland)
  • - Maraton Rowerowy Dookoła Polski 3130 km (Poland)


Sejarah ringkas Audax

Ada banyak versi mengenai sejarah sebenar Audax, semuanya memeningkan dan sangat mengelirukan.

Namun secara ringkasnya ia dikatakan bermula apabila pada 12 Jun, 1897 sekumpulan 12 penunggang basikal Itali mengembara melalui laluan antara Rom dan Naples sejauh 230 kilometer dalam tempoh satu hari. 

Henri Desgrange, pengasas Le Tour de France
Memandangkan keadaan berbasikal sukar pada masa itu, usaha mereka telah dianggap sebagai "berani".

Pada 1904, wartawan berbangsa Perancis Henri Desgrange ( juga pelumba basikal dan pengasas perlumbaan  le' Tour de France)  mengasaskan Audax berasaskan pengembaraan dilakukan 12 penunggang Itali sebelumnya.

Beliau menghasilkan peraturan Audax dan mengemuka cadangan agar A.C.P yang ditubuhkan pada 30 November tahun sama diberi kuasa mengesahkan 'brevets' (acara) di bawah peraturan ditetapkan.

Diceritakan lagi, pada 1913 dan 1914 Victor Breyer (editor akhbar L'Echo des Sports )  menganjurkan acara serupa dan meminta bantuan A.C.

Atas sebab tertentu terjadi pergeseran yang kemuncaknya menyaksikan perpecahan dalaman A.C.P pada 1921.
A.C.P kemudianya dikatakan mencipta version baru berasaskan sukan, di mana pelumba yang berjaya dianugerahkan pengiktirafan dipanggil brevets des Randonneurs. Gaya dikenali sebagai "randonneuring" ini diteruskan hingga sekarang.



Siri paling popular

Sementara itu, walaupun kebanyakkan penganjur tempatan mengadakan acara Audax bagi memenuhi keinginan penggemar cabaran itu, terdapat beberapa acara dianjurkan sangat popular dan dianggap sangat berprestij.

Acara Paris-Brest-Paris (PBP) (klik sini)  merupakan paling popular, sejauh kira-kira 1,200 km acara ini diadakan selang empat tahun sekali.

Bermula pada tahun 1891, ia adalah acara berbasikal tertua yang masih dilangsungkan. Untuk layak menyertai PBP, peserta perlu terlebih dahulu melengkapkan satu siri brevets (200 km, 300 km, 400 km dan 600 km dalam tahun yang sama.  

London-Edinburgh-London adalah acara 1400 km yang diadakan di United Kingdom setiap empat tahun sekali. Bermula di utara London, peserta akan melalui laluan  merentasi timur England, ke Edinburgh, dan biasanya kembali ke London dengan laluan sama.

Boston-Montreal-Boston (BMB) juga merupakan cabaran sejauh 1,200 kilometer  yang disifatkan setara dengan cabaran PBP, diadakan setiap tahun kecuali apabila PBP diadakan. 



Kelengkapan dan Basikal

 Secara umumnya,  basikal tidak tertakluk kepada peraturan-peraturan ditetapkan badan pentadbiran sukan basikal dunia 'Union Cycliste Internationale (UCI)'.

Contoh kelengkapan basikal untuk acara jarak jauh
Peserta hanya disyaratkan agar menggunakan kenderaan jenis beroda yang di-tenagai manusia, dan tidak lebih kelebaran satu meter. Oleh itu selain basikal biasa Tricycles dan recumbents adalah dibenarkan.


Kebanyakan peserta memilih untuk menggunakan basikal jenis 'road bike' atau hibrik (yang dapat bergerak lebih laju) dan berkeupayaan membawa barang-barang ringan.  Namun ada juga peserta yang turut menggunakan basikal jenis mountain bike, folding dan jenis lain.

Sesetengah acara, peserta turut perlu melengkapkan basikal dengan lampu, malah untuk acara melibatkan jarak yang panjang peserta membawa bersama mereka sedikit kelengkapan kecemasan, alat ganti dan sedikit makanan.

Memandangkan peserta dikehendaki berada di atas basikal untuk tempoh yang lama, jesteru tidak hairan mereka akan mendapatkan posisi menunggang paling selesa, ini termasuk menggunakan pelana (saddle) bermutu tinggi selain turut menggunakan aero bar.


Kepuasan tahap maksima 
Sudah semestinya satu kepuasan tidak terhingga apabila seseorang peserta  dapat menghabiskan sesuatu cabaran dengan jayanya.

Medal Brevet
Mereka ini tidak berlumba dengan orang lain, sebaliknya menyertai cabaran ini bagi mengatasi halangan besar iaitu kemampuan fizikal dan mental diri sendiri.

Cabaran ini sukar, tetapi mereka mempunyai sikap untuk mencuba terlebih dahulu sebelum menyerah kalah.


Medal Super Randonneur
Berikut adalah antara anugerah diberikan kepada mereka yang berjaya menghabiskan acara-acara diadakan organisasi randonneuring.

Medal Brevet -
perlu menyelesaikan salah satu cabaran sama ada acara 200, 300, 400, 600 atau 1,000 km dalam masa ditetapkan. rupa bentuk medal agak sama dengan sedikit perbezaan menandakan jarak cabaran.

Super Randonneur - adalah kegilaan penggemar sukan ini, peserta diwajibkan untuk melengkapkan satu siri cabaran (200, 300, 400 dan 600 km) dalam musim yang sama. peserta akan cuba menamatkan semua cabaran diberikan termassuk menyertai acara di luar negara.

Randonneur 5000 - Peserta perlu melengkapkan siri penuh 200, -300, -400, -600 -dan- 1000-kilometer , Paris-Brest-Paris dan Flèche Vélocio ( di mana sekurang-kurangnya tiga pelumba berpasukan perlu bermula, dan sekurang-kurangnya tiga pelumba pasukan mesti menghabiskan perlumbaan tersebut). 

Sementara itu, medal untuk acara Audax Paris–Brest–Paris (PBP),  Boston–Montreal–Boston (BMB) dan 'spedial stage lain adalah diberi berdasarkan acara diadakan.

Ambil basikal dan mula berlatih

Baiklah, dah habis pun cerita ringkas pasal Audax, kalau faham tu kira faham la, tapi kalau tak faham tu.. mungkin korang dah boleh jenguk2 laman facebook Audax Malaysia . Sediakan basikal dan berlatih sikit-sikit.

Seterusnya daftar untuk sertai acara diadakan dan bersedialah untuk menikmati saat-saat (:D)  indah sepanjang perjalanan.

Semoga berjumpa lagi, aku kongsikan sikit pengalaman join Audax 200 km Broga Challenge bila ada kesempatan nanti. Sebelum tu boleh lawat blog kawan kita untuk tinjau-tinjau gambar. 




#Perkongsian kali ini dedikasi untuk kawan-kawan yang menempuhi cabaran Audax BRM 400 km Butterworth - Sungai Petani - Butterwoth pada 29 April - 1 Mei  2017.

Post a comment

0 Comments